Wednesday, June 25, 2008

Melatahnya Orang Melayu


Pada pengamatan kasar penulis, orang Melayu ini sebenarnya agak sukar untuk didedahkan dengan idea-idea baru ataupun sesuatu yang kelihatan berbeza dengan apa-apa yang telah mereka "anuti" berabad lamanya. Penulisan ini bukannya bertujuan memperkatakan soal Islam yang memang sudah lama bertapak kerana kedatangan Islam sememangnya satu anugerah Allah buat manusia-manusia di sini.

Yang penulis maksudkan adalah kesediaan orang Melayu untuk melakukan perubahan demi kebaikan bersama. Hal ini mungkin dapat dikaitkan dengan sifat orang Melayu yang "cepat melatah". Dan kadang-kadang, orang yang berkongsi wacana perubahan juga menjadi mangsa keadaan. Lihatlah bagaimana Hang Nadim yang bijaksana menjadi mangsa keadaan apabila ada pembesar yang khuatir akan kedudukannya. Hang Nadim yang berjasa menyelamatkan penduduk daripada serangan ikan todak akhirnnya disingkirkan kerana fitnah pembesar tersebut. Kononnya nanti, budak ini sekiranya dewasa akan menyaingi sultan yang memerintah.

Bukan itu sahaja, melatahnya orang Melayu juga dapat dilihat menerusi kesediaan mereka untuk memahami inti daripada ajaran Islam. Sebab itulah rasanya orang Melayu, khususnya generasi yang terdahulu lebih sukar didedahkan dengan agenda kebangkitan Islam. Maka, generasi kini perlu didedahkan dengan agenda kebangkitan Islam sebelum "rebung menjadi buluh".

Dan sememangnya bukan orang Melayu sahaja yang agak sukar menerima perubahan ini. Masyarakat lainnya hampir serupa juga. Oleh itu, mari kita cermati strategi perubahan sosial yang digambarkan dalam Islam menerusi sirah nabawiyyah.

Kita dapat perhatikan bahawa generasi awal Islam tidak terus dibebankan dengan tanggungjawab menunaikan solat, mengenakan tudung dan sebagainya. Malah, fasa 13 tahun dakwah Rasulullah S.A.W. di Mekah lebih tertumpu kepada pembinaan akidah para sahabat bagi merealisasikan kalimah syahadah dalam kehidupan nyata.

Ataupun cuba lihat bagaimana caranya Allah S.W.T. mengharamkan peminuman arak. Allah S.W.T. tidak terus mengharamkan arak kepada masyarakat Islam pada waktu tersebut. Proses pengharaman arak berlaku dalam tiga peringkat. Dua peringkat yang awal adalah celaan terhadap arak. Hanyalah pada peringkat yang ke-3, arak diharamkan Allah. Dan apabila arak diharamkan, masyarakat Islam pada waktu tersebut serta merta mentaatinya kerana pertama, akidah mereka telah pun mantap dan perubahan yang berlaku kepada mereka bukannya satu perubahan yang mendadak.

Dalam erti kata yang lain, pendekatan "revolusi" kurang berkesan berbanding metodologi pembinaan insan seperti yang telah dinyatakan. Sesungguhnya, setiap sesuatu perubahan yang ingin dilakukan mesti dilakukan secara berfasa. Bukannya secara semberono sahaja. Sirah nabawiyyah sendiri juga memperlihatkan metodologi yang berkaitan di mana Rasulullah S.A.W, mempersiapkan individu-individu Muslim yang mantap sebelum membina "kerajaan Islam" di Madinah.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

No comments: