Sunday, June 22, 2008

Cerpen: Bicara si Kucing pada Satu Jumaat


"Bertuahnya si buta kerana tak dapat ia melihat yang boleh dilihat tapi berdosa"

"Bertuahnya si pekak kerana tak dapat ia mendengar yang boleh didengar tetapi berdosa"

"Bertuahnya si bisu kerana tak dapat ia berkata yang boleh dikata tetapi berdosa"

"Bertuahnya si lumpuh kerana langkahnya tidak menuju kepada yang boleh dituju tetapi berdosa"

"Maka alangkah bertuahnya menjadi kucing, hidupnya melihat, mendengar, dan mengiau, serta berjalan tapi tak pula ia berdosa"

"Maka begitu aku mahu saja menjadi kucing yang hidup tanpa dugaan menjaga kesucian hati"

"Tapi apa aku akan setabah si kucing?"

"Mengeong kelaparan tiada siapa-siapa yang peduli, kadang dipukul sakit tak terperi, tiada beratap aku kan sering dibasahi dan tatkala sejuk aku kan sering berharap diselimuti"

"Mujur saja aku si kucing, teruk di dunia tapi masih mendapat kasih Ilahi.
Seandainya saja aku punya fikiran buat mencapai kemajuan. Nafsuku meronta tapi ditadbir akal. Aku melakukan dosa tapi sering berpeluang Dimaafkan. Aku jadi penasaran bagaimana kiranya aku menjadi khalifah?"

"Tak mengapa, sudah suratan takdir aku begini, menjadi kucing aku nikmati. Apa adanya aku syukuri kerana tak mahu hidup Dilaknati. Biar aku dibilang comot, putih, sayang atau pun bujal. Kasihku hanya buat Ilahi. Dan akan kuturuti ketetapan ini"

"Janganlah mengeluh manusia pencari, baguslah sudah penyesalan kauberi kerana itu tandanya kau mengingati dan tahukah engkau, kau juga Diingati?"

"Beringatlah kau manusia pencari, jiwamu yang kau sucikan kan menjadi penyeri, buat kehidupanmu di sana nanti, sedang di sini, dunia di sisi"

"Andai saja aku bisa menangis sepertimu, pasti saja aku menngis. Ingin sekali kurasakan berlazat-lazatan dengan Rindu Ilahi. Mataku basah, hilangnya resah. Sudahlah manusia pencari, bangkitlah dan perdengarkan kepadaku ayat-ayat Pencipta dan juga perilakumu yang cukup mempesona. Akan kudoakan kau menjadi manusia suci walau pun sering terdedah kepada dosa duniawi. Dan seandainya bisa, ingin saja aku menemani perjuanganmu sehingga ke akhir nanti. Seandainya saja kau mendengar…"

"Oh Tuhan, ampunkanlah daku kerana bicaraku tadi seperti tidak mensyukuri kurniaan-kurniaan-Mu selama ini. Ampunkanlah aku Ya Allah, Ya Dzal Jalaali Wal Ikram. Hindarkanlah panca inderaku daripada mengingkari-Mu Ya Allah. Berikanlah daku Cinta-Mu yang tiada tolok bandingnya. Sucikanlah jiwaku Ya Allah."

"Meow, Meow, Ngeong"

No comments: