Loading...

Thursday, July 3, 2008

Bahasa Kita dan Islam



Penulis melihat akan betapa pentingnya penguasaan Bahasa Melayu oleh segenap lapisan masyarakat. Selain menjadi salah satu faktor perpaduan dan semangat kekitaan, bahasa ini juga sesungguhnya mempunyai kelebihan tersendiri.

Cuba perhatikan sistem bunyi yang terdapat dalam bahasa kita. Satu sistem yang tersendiri di mana ia mampu beradaptasi dengan huruf-huruf Arab (membentuk tulisan jawi) dan juga dengan huruf-huruf Roman sehingga membentuk sistem tulisan yang kita warisi pada hari ini.

Pemerhatian kasar penulis juga turut melihat mereka yang menguasai sebutan Melayu Johor-Riau lebih mudah menguasai sistem-sistem bunyi bahasa lain. Kajian lanjut wajar dilakukan bagi mengesahkan pemerhatian kasar ini.

Bahasa Melayu juga identik dengan Islam kerana Melayu itu sendiri sifatnya Islam. Tambahan pula, kebanyakan masyarakat awam (Melayu-Islam) mempelajari Islam dalam Bahasa Melayu. Maka, penguasaan Bahasa Melayu ini adalah amat penting bagi proses kelanjutan Islamisasi dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tidak dinafikan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris juga adalah penting. Namun, jangan pula dilupakan Bahasa Melayu. Dan adalah lebih baik bagi mereka yang benar-benar ingin mengusai bidang keilmuan Islam supaya menguasai Bahasa Arab kerana ia merupakan alat yang utama dalam memahami kandungan al-Quran dan hadith.

Kerana Bahasa Arab, seperti juga bahasa-bahasa lain, mempunyai sistem nahu-nya yang tersendiri.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

Tuesday, July 1, 2008

Currency Converters



Having problems to convert your money to other state of currencies? It is not a big deal, though. These are some of the websites which provide you with currency converters (Go to "capaian wang" of megar jiwo's sidebar to check it out)

However, it is important for you to notice that there are slight differences with the amount of currency provided by these converters.

Hate and Love




Just few words to ponder...

When you like someone, is simply because you like him or her...
And it is not caused by other factors such as money and brain...
Then you look for reasons to love so that you don't look stupid among your friends...

And when you hate someone, is simply because you don't like him or her...
Mostly because money and brain...
And then you create thousands of reasons (religious etc) not to love so that you don't look stupid among your friends...



Monday, June 30, 2008

Buat Barisan Pemuda Ansarallah: Risalah 1



Assalamu'alaikum buat semua saudara seperjuangan. Ingatlah, sesungguhnya kita semua telah diingatkan agar setia kepada perjuangan kita ini. Tidak berlaku khianat dalam perjuangan mendaulatkan agama Allah.


Surah ke-8, Surah Al Anfaal

27. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.



Kita juga telah diingatkan untuk bersatu dalam medan perjuangan.


Surah ke-8, Surah Al Anfaal

45. Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.



Berhati-hatilah dengan perbezaan pendapat dan strategi. Janganlah pula perbezaan-perbezaan ini menjadi punca perpecahan sesama kita sedangkan perjuangan kita adalah sama iaiut sama-sama ingin membela agama Allah. Janganlah pula perbezaan-perbezaan sebegini menimbulkan fitnah dan memecah belahkan barisan pemuda Ansarallah.


Perbezaan pendapat adalah rahmat bagi kita seandainya saja kita dapat menanggapinya secara bijaksana dan mengenepikan perasaan yang emosional.


Surah ke-8, Surah Al Anfaal

46. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.



Kita, pemuda-pemuda Ansaralah juga perlulah berjinak-jinak dengan rumah Allah. Mudah-mudahan, kita akan lebih banyak disirami keredhaan Ilahi kerana sesungguhnya masjid ataupun surau bukanlah hanya tempat bersolat jemaah dan membaca al-Quran sahaja. Rumah Allah adalah tempat untuk kita berkongsi ilmu, membincangkan masalah-masalah masyarakat Islam dan memperkukuh persaudaraan Islam.


Surah ke-9, Surah At-Taubah

18. Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan yang mendapat petunjuk.



Pada masa yang sama, kita perlulah sentiasa menanam keazaman yang kuat untuk ditempatkan dalam barisan syuhada’.


Surah ke-9, Surah At-Taubah

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.



Dan siapakah mereka itu wahai saudara-saudara seagamaku?


Surah ke-9, Surah At-Taubah

112. Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat, yang rukuk yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mumin itu.

Wednesday, June 25, 2008

Obama Ke Rumah Putih



Pilihanraya presiden Amerika Syarikat semakin menghampiri. Pilihanraya yang bakal berlangsung kali ini sedikit berbeza berbanding pilihanraya-pilihanraya sebelumnya. Kali ini, buat pertama kalinya dalam sejarahnya seorang calon berkulit hitam akan menyaingi seorang calon berkulit putih. Justeru, kita bakal melihat sama ada perbezaan ras bangsa akan menjadi sebuah faktor dominan ataupun tidak dalam pilihanraya mendatang ini.

Penulis ada mendengar yang saudara-saudara se-Islam kita di Indonesia yang gembira dengan percubaan saudara Obama mewakili Demokrat dalam pilihanraya presiden ini. Bahkan, sejak kira-kira setahun yang lalu lagi rancak dibicarakan di sana sini tentang "kelainan" yang bakal ditempa oleh Amerika Syarikat sekiranya saudara Obama benar-benar menang sebagai presediden. Hal ini adalah demikian kerana saudara Obama pernah hidup di Indonesia dan tentunya pernah hidup bersama dengan masyarakatnya di sana. Selain itu, ayah Obama sendiri merupakan seorang Muslim iaitu Barack Hussein Obama. Dan pengundi-pengundi Yahudi sendiri dikatakan tidak akan mengundi untuk Obama.

Ada juga yang berpendapat bahawa tiada bezanya Amerika Syarikat di bawah tadbir siapa-siapa pun kerana tidak mungkin dasar luarnya berubah. Namun, ada juga yang optimis bahawa dasar luar Amerika Syarikat akan berubah apabila saudara Obama memerintah nanti.

Dan seandainya ditanyakan kepada penulis, tentulah penulis akan menjawab begini. Mana mungkin sama kemenangan yang bakal diraih oleh Obama ataupun pesaingnya yang tampaknya pro kepada dasar-dasar pentadbiran Bush.

Mana mungkin sama dua jenis kemudharatan. Begitu juga dengan pahala yang bertingkat-tingkat dalam Islam. Tak sama mereka yang menggunakan tangan dengan mereka yang hanya menggunakan hati dalam amar makruf nahi mungkar. Dan tidak mungkin juga sama dua orang manusia yang zahirnya saja sudah berbeza.

Nanti, kita akan benar-benar lihat sama ada Obama (sekiranya menang) akan membawa perubahan ataupun tidak. Atau mungkin, dia hanya akan "dikorbankan" seperti J.F.K.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui.

Melatahnya Orang Melayu


Pada pengamatan kasar penulis, orang Melayu ini sebenarnya agak sukar untuk didedahkan dengan idea-idea baru ataupun sesuatu yang kelihatan berbeza dengan apa-apa yang telah mereka "anuti" berabad lamanya. Penulisan ini bukannya bertujuan memperkatakan soal Islam yang memang sudah lama bertapak kerana kedatangan Islam sememangnya satu anugerah Allah buat manusia-manusia di sini.

Yang penulis maksudkan adalah kesediaan orang Melayu untuk melakukan perubahan demi kebaikan bersama. Hal ini mungkin dapat dikaitkan dengan sifat orang Melayu yang "cepat melatah". Dan kadang-kadang, orang yang berkongsi wacana perubahan juga menjadi mangsa keadaan. Lihatlah bagaimana Hang Nadim yang bijaksana menjadi mangsa keadaan apabila ada pembesar yang khuatir akan kedudukannya. Hang Nadim yang berjasa menyelamatkan penduduk daripada serangan ikan todak akhirnnya disingkirkan kerana fitnah pembesar tersebut. Kononnya nanti, budak ini sekiranya dewasa akan menyaingi sultan yang memerintah.

Bukan itu sahaja, melatahnya orang Melayu juga dapat dilihat menerusi kesediaan mereka untuk memahami inti daripada ajaran Islam. Sebab itulah rasanya orang Melayu, khususnya generasi yang terdahulu lebih sukar didedahkan dengan agenda kebangkitan Islam. Maka, generasi kini perlu didedahkan dengan agenda kebangkitan Islam sebelum "rebung menjadi buluh".

Dan sememangnya bukan orang Melayu sahaja yang agak sukar menerima perubahan ini. Masyarakat lainnya hampir serupa juga. Oleh itu, mari kita cermati strategi perubahan sosial yang digambarkan dalam Islam menerusi sirah nabawiyyah.

Kita dapat perhatikan bahawa generasi awal Islam tidak terus dibebankan dengan tanggungjawab menunaikan solat, mengenakan tudung dan sebagainya. Malah, fasa 13 tahun dakwah Rasulullah S.A.W. di Mekah lebih tertumpu kepada pembinaan akidah para sahabat bagi merealisasikan kalimah syahadah dalam kehidupan nyata.

Ataupun cuba lihat bagaimana caranya Allah S.W.T. mengharamkan peminuman arak. Allah S.W.T. tidak terus mengharamkan arak kepada masyarakat Islam pada waktu tersebut. Proses pengharaman arak berlaku dalam tiga peringkat. Dua peringkat yang awal adalah celaan terhadap arak. Hanyalah pada peringkat yang ke-3, arak diharamkan Allah. Dan apabila arak diharamkan, masyarakat Islam pada waktu tersebut serta merta mentaatinya kerana pertama, akidah mereka telah pun mantap dan perubahan yang berlaku kepada mereka bukannya satu perubahan yang mendadak.

Dalam erti kata yang lain, pendekatan "revolusi" kurang berkesan berbanding metodologi pembinaan insan seperti yang telah dinyatakan. Sesungguhnya, setiap sesuatu perubahan yang ingin dilakukan mesti dilakukan secara berfasa. Bukannya secara semberono sahaja. Sirah nabawiyyah sendiri juga memperlihatkan metodologi yang berkaitan di mana Rasulullah S.A.W, mempersiapkan individu-individu Muslim yang mantap sebelum membina "kerajaan Islam" di Madinah.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

Tuesday, June 24, 2008

Cerpen: Biarlah Allah Menentukan Cinta Itu



“Tak suka betul Sha melihat perangai abang tu, kak. Macam suka menggatal je”

“Sha, tak baik Sha buat andaian-andaian liar macam tu. Sejauh mana Sha yakin dengan dakwaan-dakwaan Sha terhadap abang Imran tu?”

“Sha bukannya nak cakap apa la kan. Tapi dah memang akak-akak usrah yang lain pun cakap macam tu. Mereka dah pesan kat Sha supaya beware dengan abang Imran. Silap-silap hari bulan nanti dia datang meminang”

“Kalau ya pun dia datang meminang, salah ke? Tak salah kan?”

Sha tak menjawab. Membukam seketika dan menundukkan kepalanya ke bawah. Dia sedar yang dia mungkin telah tersilap sangka terhadap salah seorang seniornya yang lebih dikenali sebagai abang Imran. Melihat situasi tersebut, Ina pun terus menyambung bicara,

“Sha, Sha mungkin dengar macam-macam yang orang cakap tentang abang Imran tu tapi Sha tak boleh buat assumption yang dia jahat ke, menggatal ke tanpa bukti yang benar-benar kukuh. Sha pun bukannya betul-betul kenal abang Imran tu kan?”

Ina mematikan bicaranya seketika. Mengharapkan Sha memberikan respons yang wajar. Namun Sha masih menunduk bisu. Ina menyambung bicara,

“Sha, tak kiralah walau siapa-siapa pun yang cakap macam tu, ustaz ke, akak-akak usrah ke or siapa-siapa pun. Yang penting Sha harus bijak membezakan antara fakta dan spekulasi kosong. Manusia biasa semuanya tak kebal daripada melakukan kesilapan dan dosa tau”

“Ya lah, kak. Sha rasa Sha memang telah berburuk sangka terhadap abang Imran tu. Kata-kata akak tu pun ada asasnya juga. Tak wajar Sha membina kesimpulan daripada omongan-omongan orang semata-mata. Lagi pun, abang Imran tu bukannya buat silap apa pun kat Sha or kat siapa-siapa pun. Cuma…”

“Cuma apa, Sha?”

Ina menantikan jawapan Sha dengan setia sambil tersenyum indah. Dia mengulangi soalannya sekali lagi, “Cuma apa, Sha?”

“Tak ada apa-apalah kak”

“Sha, kenapa ni. Macam ada something yang Sha cuba rahsiakan daripada akak. Tak kan dengan akak pun nak berahsia kot?”

“Hmm, kalau Sha tanya akak tak marah kan?”

“Nak marah apanya kalau soalannya pun akak tak tau”

“Janji akak tak marah tau”

“Ya, akak tak kan marah. Ok, soalannya apa ya”
Dengan sedikit gementar, Sha mengatur kata-katanya, “Saya dengar yang akak pernah dilamar oleh bang Imran…”

Persoalannya terhenti di situ. Sha tak begitu pasti sama ada dia perlu meneruskan soalannya itu ataupun sekadar membiarkannya tergantung. Dia berusaha membaca isi hati Ina yang dipanggilnya dengan gelaran Kak Ina. Berusaha memahami sama ada soalan ini akan mengganggu ruang tenteram Ina ataupun tidak.

Namun, Sha sedikit terkejut apabila sambil tersenyum, Ina menjawab dengan sedikit berseloroh, “Hmm, ya. Memang bang Imran pernah melamar akak tapi tu kisah dulu-dulu. Masih zaman muda-muda.”

Sha yang melihat reaksi positif Ina lantas tersenyum. Lega rasanya. “Boleh Shat tau tak macam mana dia melamar akak?”

Ina sedikit memuncung tatkala diajukan soalan sedemikian rupa. Bibirnya sedikit bergetar seperti sedang mengatur bicara. Atau barangkali dia sedang beristighfar. Atau mungkin juga dia sedang berusaha menahan marah. Lantas, Sha terus bersuara, “Akak tak payahlah jawab kalau akak rasa tak selesa”

Tanpa membuang masa juga, Sha segera mengajukan soalan lain kepada Ina yang begitu dihormatinya. “Akak pernah jatuh cinta tak?”

Ina dengan tenang bersuara, “Sha, cinta tu satu anugerah Ilahi buat kita-kita ni tau. Selain tu, rasa cinta ni juga dah memang sebahagian daripada diri kita. Mengubat rasa sunyi yang bertahta di hati. Kita ni juga selaku orang perempuan kenalah beringat akan peranan kita nanti apabila bergelar isteri. Bukan setakat makan minum suami je yang nak dijaga tau. Kita kenalah juga berada di sisi suami kita, memperkukuhkan semangat juangnya dalam menebarkan dakwah di muka Bumi ni.”

Ina berhenti seketika. Menelan liur dan meneruskan bicaranya,

“Kita juga wajar mencontohi ketokohan isteri pertama Rasulullah S.A.W. yang menemani perjuangan dakwah suaminya tatkala di Mekah. Aisyah R.A. sendiri pun pernah berasa cemburu dengan ketokohan beliau sedangkan Aisyah R.A. sendiri pun antara isteri dan sahabat nabi yang hebat. Ada lagi yang kita orang perempuan ni kena tau tapi akak malu sikit la nak cakap”

“Apa yang akak malukan sangat tu, kak?”

Ina dengan berhati-hati berkata “Kita juga perlu bersedia menghibur suami dengan sebaik mungkin. Hubungan suami isteri dalam Islam pun ada adabnya. Sebab tu lah boleh dapat pahala kalau betul caranya. Kenalah juga pandai berhias agar sejuk pandangan mata suami nanti”

“Hmm, luar biasa juga akak ni ya kalau berbicara soal perkara-perkara macam ni”, ujar Sha sambil diiringi senyumanyang manis.

“Tak adalah. Akak pun dengar-dengar je daripada kuliah-kuliah yang Ustaz Salam berikan. Sebagai persediaan hari-hari esok. Nak bina baitul Muslim ni bukannya urusan sehari dua, Sha.”

“Macam mana pula dengan orang yang ber-couple, kak? Boleh ke?”

“Hmm, yang ni susah sikit nak jawab. Sebelum tu, apa yang Sha sendiri faham tentang istilah ber-couple tu sendiri?”

“Entahlah kak. Sha pun macam tak pasti”

“Begini, kalau ber-couple yang Sha faham tu semata-mata keluar ber-dating dan hanya buat menurutkan hawa nafsu semata-mata, dah tentulah ianya salah. Orang yang dah bertunang pun boleh dikatan couple, betul tak? Tapi mereka pun masih perlu menuruti batasan-batasan yang telah ditetapkan. Dan orang kalau nak berkahwin pun bertunang kan? Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah pun macam tu. Hmm, persoalannya ni sememangnya agak panjang untuk dijawab. Namun, biarlah akak simpulkan begini. Berkenalan tu tak salah tapi biarlah betul gayanya. Kalau dah betul-betul suka tu, rujukkanlah kepada mak ayah.”

“Oh, boleh tak Sha simpulkan macam ni? Couple tu tak salah kerana zatnya tetapi bagaimana pengisian ataupun cara ianya dilaksanakan?”

“Hmm, lebih kurang macam tu lah, Sha. Macam persoalan muzik dalam Islam. Lebih kurang macam tu lah juga. Haram bukan kerana zatnya.”

“Tapi ada juga yang kata yang couple-couple ni semuanya salah. Semuanya haram. Macam mana pula tu?”

“Akak pun pernah dengar mereka yang berkata macam tu. Tujuannya adalah supaya mengelakkan masalah zina daripada berlaku. Tambahan pula, metodologi pencegahan ni memang lazim dengan Islam sebagaimana termaktub dalam al-Isra’, ayat 32”

“So, macam mana ni kak? Boleh ke tidak bercinta sebelum kahwin ni?”

“Akak rasa elok kalau Sha tanya soalan tu kepada diri Sha sendiri. Mampukah Sha menjaga batasan-batasan antara lelaki dan perempuan semasa ber-couple tu? Adakah Sha masih boleh tumpukan perhatian kepada tarbiyyah dan akademik? Sebab Sha yang lebih mengenali kekuatan dan kelemahan diri Sha. Dan akak rasa elok juga kalau Sha tanyakan soalan-soalan serupa kepada mereka yang lebih berilmu. Cuma yang akak tahu dan faham berdasarkan pencarian akak selama ni, hukumnya ada dua sama ada mubah ataupun haram. Mereka yang syadid biasanya akan berpegang kepada hukum yang kedua iaitu hukumnya haram”

“Rumit juga persoalan ni ya, kak”

Sambil tersenyum, Ina menjawab “Memang pun. Nak hidup diredhai Tuhan lah katakan. Mestilah berusaha memahami ketetapan-ketetapannya. Islam ni mudah sebenarnya. Terpulanglah kepada kita nak ikut ke tak. Kalau Sha nak lebih selamat tanpa was-was, adalah lebih baik Sha berpegang kepada hukum yang kedua tu. Insya-Allah, jodoh akan kunjung tiba juga suatu hari nanti”

“Mudah-mudahan lah kak. Doakanlah saya ya”

“Insya-Allah. Cuba Sha baca doa nabi Musa A.S yang terkandung dalam Surah al-Qasas, Surah ke-24 sebagai salah satu usaha mendapatkan jodoh. Doa ni dulu Ustaz Salam yang ajar. Semoga Allah S.W.T. kan senantiasa merahmati-Nya. Amin. Surah ni juga ada menceritakan kisah romantis Nabi Musa A.S. dengan bakal isterinya. Bakal isterinya itu, menurut Quran, “berjalan dengan malu-malu” tatkala menyampaikan jemputan ayahnya buat Musa A.S. Cuba Sha baca dahulu terjemahan kisah romantis Nabi Musa A.S. ini ya. Insya-Allah juga nanti kita bincangkan ayat-ayat berkaitan dalam sesi usrah yang berikutnya. Ada landasan akhlak antara lelaki dan perempuan yang turut dibicarakan dalam kisah ini sebenarnya.”

“Alhamdulillah. Banyak juga input yang saya dapat hari ni. Dah macam sesi usrah layaknya”, ujar Sha dengan nada beserta hembusan nafas kepuasan.

“Usrah ni tak semestinya duduk dalam halaqah je. Duduk-duduk kat kedai kopi pun boleh jadi satu sesi usrah kalau buah bicaranya berkisarkan Islam tau.”

“Oh, macam tu! Subhanallah, mudah betul nak buat pahala ni ya, kak.”

“Memang pun. Akak nak pergi masak ni. Nak tolong?”

“Nak. Nak jadi isteri solehah mestilah tau memasak.”

“Hmm, memasak ni bukannya syarat utama menjadi isteri solehah tau tapi lebih berupa perkara pelengkap. Tak tau memasak taka apa, tapi kalau tak tau Islam lagi payah. Tapi kalau dah ada dua-dua tu. Kira pakej lah.”, ujar Ina, diiringi tawa mereka berdua.

“Hmm, Sha. Sebelum tu akak nak cakap sesuatu bagi menjawab persoalan Ina sebelum ni. Memang akak pun pernah suka kat abang Imran. Dia tu lembut orangnya tapi tegas apabila berhujah. Dan dia ni cepat betul prihatin kepada perempuan. Kalau nampak seseorang permpuan tu lain macam je, mesti dia tanya, “Sihat ke?” ataupun “Awak ok?”. Akak tak nafikan yang dia ni memang peramah orangnya. Tu lah sebabnya kalau orang yang tak kenal abang Imran ni boleh buat assumption yang macam-macam. Dia playboy-lah, ikhwan cakap tak serupa bikin dan banyak lagi. Walhal, hakikatnya bukan macam tu pun. Akak sendiri akui akak pun kadang-kadang boleh rasa jealous mendengar cerita-cerita macam tu tentang bang Imran.”

“Hmm, kenal betul akak dengan bang Imran ye. Ada apa-apa lagi ke?”

“Akak bukannya apa. Cuma nak Sha berhati-hati. Jangan mudah sangat berburuk sangka dengan orang lain dan mengumpat pula tu. Seolah-olah makan daging saudara sendiri tau.Cuba rujuk al-Hujurat, ayat 12.”

Sebaik sahaja Ina selesai berbicara, Sha pun segera memintas, “Ada apa-apa lagi ke dengan bang Imran?”

“Hmm, biarlah Allah Menentukan cinta itu dengan berlalunya waktu dan ilmu”

Fahamkah Orang Muda akan Perjuangan?





Suara orang muda kini bagaikan mula berdendang ke seluruh pelusuk tanah air. Dikatakan juga bahawa undian orang muda telah banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya umum yang lalu. “Pergerakan” orang muda juga terlihat segar dan cukup gah sekali. Pastinya cukup untuk menyampaikan mesej kepada pihak pemerintah sedia ada bahawa mereka bersedia untuk membawa perubahan.

Wacana perubahan yang sering dilaung-laungkan sememangnya mencerminkan hasrat mereka untuk hidup di bawah pemerintahan yang lebih baik dan telus. Satu niat yang sememangnya cukup baik dan murni. Namun, adakah orang-orang muda ini benar-benar faham akan wacana perubahan yang mereka impikan ataupun sekadar bersandar kepada kehendak hati mereka yang sekadar ingin ‘memberontak’ bagi merealisasikan kewujudan diri mereka di pentas kehidupan?

Persoalan yang diajukan di sini bukannya bertujuan memihak kepada pihak pemerintah secara membuta tuli tapi sekadar menumbuhkan pemikiran rasional kepada para pembaca. Sejauh manakah para pemuda yang terlibat dengan idea “perubahan” ini, faham akan perjuangan mereka?

Para pemuda dari Kelantan, misalnya masih lagi mempertahankan pemerintahan PAS di sana tetapi belum tentu lagi mereka faham dengan wacana gerakan Islam. Mereka yang faham akan pergerakan kebangkitan Islam pastinya akan bertungkus lumus melibatkan diri dalam usaha-usaha yang berkaitan namun kenyataan ini belum tentu dapat dilihat pada kebanyakan pemuda berkaitan. Mereka lebih selesa mendengar ceramah-ceramah agama sahaja tanpa melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan Islam.

Maaf andai pemerhatian ini sedikit sensitif. Dan memang bukan semua pemuda di sana begitu. Namun, inilah contoh yang paling baik dalam memahamkan para pembaca kepada penulisan artikel ini dan ini merupakan tanggungjawab penulis untuk sekadar mengingatkan, bukannya menghukum.

Penulis juga dapat menyimpukan begini, sekiranya kebanyakan pemuda Kelantan faham akan perjuangan gerakan Islam, maka akan lebih besarlah peluang PAS meluaskan dakwahnya ke seluruh tanah air. Tidak begitu? Oleh itu, pihak PAS seharusnya memerhatikan agenda tarbiyyah sebagai satu unsur yang penting dalam perjuangan mereka. Insya-Allah.

Oleh itu, artikel ini juga bertindak mengingatkan agar para pembaca, khususnya yang muda supaya benar-benar faham akan perjuangan mereka. Perjuangan yang membentuk identiti mereka sendiri. Dan artikel ini tidak sekali-kali pun memperlekehkan usaha PAS dalam usahanya membentuk negara Islam. Sesungguhnya, artikel ini dimaksudkan buat semua pemuda sama ada yang memihak kepada PKR, UMNO, DAP, MIC dan lain-lain.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

Monday, June 23, 2008

Kefahaman Islam Buat Semua


Air mata itu mahal harganya. Bukannya mudah untuk menitiskan air mata. Apatah lagi kerana mengingatkan kebesaran Ilahi. Maka, berdoalah agar dikurniakan hati yang lembut, hati yang mudah menghayati Islam.

Sesungguhnya hati-hati yang lembut akan mudah menerima nasihat seterusnya buat membantu kita dalam memahami Islam yang sebenar. Sesungguhnya juga, kefahaman agama merupakan nikmat Allah yang tiada terhingga. Malah, kefahaman dalam agama tidak diukur melalui banyaknya ilmu di dada ataupun status diri sebagai “ustaz” ataupun “ustazah”. Dan yang paling penting, kefahaman Islam ini sememangnya dimaksudkan Allah buat semua, bukannya kepada golongan agamawan sahaja.

Namun, hidayah itu pada hakikatnya merupakan milik Allah semata-mata. Seorang pendakwah, walau sehebat mana sekalipun tidak akan mampu memberikan hidayah kepada seseorang termasuklah mereka yang dicintai. Rasulullah S.A.W. sendiri tidak mampu memasukkan sinar Islam dalam diri pamannya. Begitu juga dengan Nabi Nuh A.S. yang tidak mampu mengurniakan keimanan buat keluarganya.

Lantas, apakah yang membezakan orang yang memahami agamanya dengan mereka yang tidak? Persoalan ini buat difikirkan oleh para pembaca. Kita selaku manusia ciptaan Allah mempunyai tanggungjawab untuk mencari hidayah Allah. Kita seharusnya bisa merebut “perhatian” Ilahi. Sedangkan orang yang kita cintai pun seboleh-bolehnya kita “curi” perhatiannya. Inikan pula Allah S.W.T. yang memang sudah terbukti Mencintai kita. Sebab itulah Allah mengurniakan kita petunjuk dari sisi-Nya, iaitu Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Sahabat-sahabat sekalian, ingatlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk berusaha sebaik mungkin memahami tuntutan Ilahi. Sebab itulah, kita dapat lihat ada dari kalangan sahabat-sahabat kita yang bersungguh-sungguh menyertai usrah dan yang seumpamanya semata-mata untuk mendapatkan kefahaman dalam agama.

Mahukah kita menjadi seperti generasi-generasi sebelum kita yang hanya melazimi bacaan Yassin setiap malam Jumaat tetapi tidak pernah tahu dan faham apa-apa yang mereka bacakan. Baca ayat-ayat Allah itu bagus. Tak salah. Tapi sejauh mana kita boleh mewujudkannya dalam kehidupan kita? Sejauh mana kita boleh mengambil pelajaran daripadannya untuk menjadikan Islam tumpuan dunia? Tumpuan aqidah, tumpuan pentadbiran, tumpuan kemanusiaan, tumpuan budaya dan lain-lain?

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

Sunday, June 22, 2008

Cerpen: Bicara si Kucing pada Satu Jumaat


"Bertuahnya si buta kerana tak dapat ia melihat yang boleh dilihat tapi berdosa"

"Bertuahnya si pekak kerana tak dapat ia mendengar yang boleh didengar tetapi berdosa"

"Bertuahnya si bisu kerana tak dapat ia berkata yang boleh dikata tetapi berdosa"

"Bertuahnya si lumpuh kerana langkahnya tidak menuju kepada yang boleh dituju tetapi berdosa"

"Maka alangkah bertuahnya menjadi kucing, hidupnya melihat, mendengar, dan mengiau, serta berjalan tapi tak pula ia berdosa"

"Maka begitu aku mahu saja menjadi kucing yang hidup tanpa dugaan menjaga kesucian hati"

"Tapi apa aku akan setabah si kucing?"

"Mengeong kelaparan tiada siapa-siapa yang peduli, kadang dipukul sakit tak terperi, tiada beratap aku kan sering dibasahi dan tatkala sejuk aku kan sering berharap diselimuti"

"Mujur saja aku si kucing, teruk di dunia tapi masih mendapat kasih Ilahi.
Seandainya saja aku punya fikiran buat mencapai kemajuan. Nafsuku meronta tapi ditadbir akal. Aku melakukan dosa tapi sering berpeluang Dimaafkan. Aku jadi penasaran bagaimana kiranya aku menjadi khalifah?"

"Tak mengapa, sudah suratan takdir aku begini, menjadi kucing aku nikmati. Apa adanya aku syukuri kerana tak mahu hidup Dilaknati. Biar aku dibilang comot, putih, sayang atau pun bujal. Kasihku hanya buat Ilahi. Dan akan kuturuti ketetapan ini"

"Janganlah mengeluh manusia pencari, baguslah sudah penyesalan kauberi kerana itu tandanya kau mengingati dan tahukah engkau, kau juga Diingati?"

"Beringatlah kau manusia pencari, jiwamu yang kau sucikan kan menjadi penyeri, buat kehidupanmu di sana nanti, sedang di sini, dunia di sisi"

"Andai saja aku bisa menangis sepertimu, pasti saja aku menngis. Ingin sekali kurasakan berlazat-lazatan dengan Rindu Ilahi. Mataku basah, hilangnya resah. Sudahlah manusia pencari, bangkitlah dan perdengarkan kepadaku ayat-ayat Pencipta dan juga perilakumu yang cukup mempesona. Akan kudoakan kau menjadi manusia suci walau pun sering terdedah kepada dosa duniawi. Dan seandainya bisa, ingin saja aku menemani perjuanganmu sehingga ke akhir nanti. Seandainya saja kau mendengar…"

"Oh Tuhan, ampunkanlah daku kerana bicaraku tadi seperti tidak mensyukuri kurniaan-kurniaan-Mu selama ini. Ampunkanlah aku Ya Allah, Ya Dzal Jalaali Wal Ikram. Hindarkanlah panca inderaku daripada mengingkari-Mu Ya Allah. Berikanlah daku Cinta-Mu yang tiada tolok bandingnya. Sucikanlah jiwaku Ya Allah."

"Meow, Meow, Ngeong"

Cerpen: Kutolak kerana ilham


“Maafkan saya, saya tak dapat menerima dia sebagai calon isteri saya”. Suara itu halus dan tenang tapi menimbulkan seribu tanda tanya kepada brothers. Ustaz Salihin pula menundukkan kepalanya. Mendiamkan diri dan kelihatannya akur dengan kata-kata anak usrahnya itu. Sudah berbulan-bulan persoalan baitul muslim antara Sarah dan Zulfikar mengisi ruang-ruang kosong dalam usrah tapi baru kali ini Zulfikar dengan tegasnya berujar demikian.

Suasana diam seribu bahasa. Faiz yang sedari tadi diam terbatuk-batuk kecil. Kelihatan jelas mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Doa barangkali. Tak lama kemudian, dia mengangkat mukanya dan memulakan bicara, “Maafkan saya, bolehkah abang beritahu kami sebab-sebabnya abang menolak cadangan kami ini?”. Semua yang hadir memasang telinga. Berusaha menumpukan perhatian terhadap apa-apa yang bakal dikatakan Zulfikar. Namun, Zulfikar hanya membalas dengan senyuman yang kemas. Dan dia memang selalu begitu. Menggeramkan hati yang memandang tingkahnya.

Masing-masing yang hadir nampaknya mulai tidak puas hati dengan senyuman tersebut. Ustaz Salihin hanya diam dan membiarkan. Dia masih dalam fasa memerhati tindak-tanduk anak-anak usrahnya. Menganalisis sebelum mensintesis.

Kali ini, Jalaluddin pula membuka kata, “Tapi bang, keputusan ini adalah keputusan kami semua. Tambahan pula, telah diredhai dan amat dipersetujui oleh ustaz”. Zulfikar hanya tersenyum. Terasa lucu barangkali. Otaknya yang ligat dan cerdas itu pastinya telah menyusun hujah yang rapi bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Kamal pula bagaikan terpanggil untuk bertanya. Dia nampaknya tak senang diri melihat Zulfikar yang berkelakuan begitu. Tambahan pula, soalan-soalan yang diajukan Faiz dan Jalaluddin masih lagi tidak dijawab. Hatinya semakin berdebar untuk bertanya. Adunan pelbagai rasa berkecamuk dalam ruang hatinya. Meluat, geram, menyampah dan seribu satu macam lagi. Dan semuanya ini kerana telatah Zulfikar yang seringkali menimbulkan tanda tanya kepada orang lain. Pernah sebelum ini, dia bertanya tentang kriteria apakah yang dinilai Zulfikar sekiranya ada siapa-siapa yang ingin berusaha mendapatkan jodoh bagi pihaknya. Dan dalam perkiraan Kamal, tentulah abang Zulfikar yang dilihat berilmu dan rendah hati ini akan menjawab “agamanya”. Namun, bukan perkataan itu yang keluar daripada mulut Zulfikar. Malah, Zulfikar menjawab, “tentulah paras rupanya yang menawan”. Bukan itu sahaja, Zulfikar juga menjawab secara bersungguh dan juga berseloroh.

Maka, tanpa teragak-agak lagi, Kamal pun segera bersuara, “Saya tak taulah perempuan macam mana lagi yang abang idam-idamkan”. Nadanya sedikit tegang dan seperti orang melepaskan geram juga bunyinya. Kamal menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan kata-katanya. “Kak Sarah tu apa kurangnya? Kalau abang nak yang cantik, dia pun cantik. Malah dialah yang seringkali menjadi siulan pelajar-pelajar putera di sini. Melepaslah jawabnya kalau abang tak nak”. Suaranya kedengaran sedikit sinis. Layaknya seperti orang yang sedang memerli. Air muka Zulfikar sedikit berubah. Kali ini dia tidak lagi tersenyum. Namun, matanya diarahkan tepat ke arah Kamal dan Kamal pula yang tersenyum. Barangkali Kamal sedikit berasa gah kerana akhirnya dia dapat menyentak ruang fikir dan emosi abang seusrahnya ini. Selama inipun, bukannya semua orang dapat berhujah dengan baik di hadapan Zulfikar. Pendek kata, Zulfikar memang boleh dikatakan petah dalam kata-katanya. Kadang-kadang lembut. Kadang-kadang tegas tetapi masih boleh terasa kelunakannya. Malah, pernah juga Zulfikar membuat beberapa orang pelajar perempuan menangis mendengarkan tazkirahnya tahun lalu. Pendek kata, memang bukan calang-calang orang Zulfikar yang selalunya dipanggil “abang” oleh Kamal ini.

Ustaz Salihin pula mengurut-urut janggutnya. Menunggu respons anak-anak usrahnya. Musa yang sejak tadi diam mendengarkan, membetulkan kaca matanya. Dalam usrah ini, Musalah yang paling tua umurnya, diikuti Zulfikar yang muda beberapa tahun. Manakala Faiz, Jalaluddin dan Kamal masing-masing berusia 20 tahun. Di samping itu, Musa jugalah yang paling pendiam. Sungguhpun dia yang paling tua tetapi dialah yang paling muda dalam usrah tersebut. Maka, ada sedikit perasan khuatir tersilap dan malu untuk berhujah di hadapan yang lain apatah lagi melihat brothers lain yang masih muda belia berbanding dirinya.

Kamal masih lagi tersenyum puas. Jalaluddin pula bagaikan sedang bermenung tetapi kepalanya mengangguk-ngangguk seperti orang bersetuju. Faiz pula sempat membasahkan bibirnya dengan kalimah Jalallah dan dengan tenang mengamati wajah Zulfikar, menanti jawapan. Musa pula masih lagi berdiam dan hanya mampu mengkebilkan-kebilkan matanya. Ustaz Salihin pula hanya memerhatikan dan membiarkan. Suasana diam kembali dan semua orang bagaikan menunggu-nunggu seseorang tampil bersuara. Zulfikar juga masih lagi berdiam, merenung Kamal umpama orang yang sedang menganalisa sesuatu. Matanya tidak berkebil-kebil sedikitpun tetapi cukup tenang dan menenangkan. Dan setelah beberapa ketika, sentum sendirian. Kamal sedikit tersentak melihat perubahan Zulfikar. Dia tahu senyuman itu adalah senyuman kebijaksanaan yang tidak dapat dia tewaskan.

Sekali lagi, semua orang menanti jawapan Zulfikar. Mata Musa yang tadi berkebil-kebil kini sedikit terjegil tanda fokus. Ustaz Salihin kemudiannya bersuara perlahan ke arah Zulfikar, “ada apa-apa?”

Zulfikar tersenyum seraya menawab, “ada, ustaz”. Zulfikar menundukkan muka sebentar sambil membaca beberapa bahagian daripada al-Quran. Menarik nafas sedikit dalam dan bersuara, “Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih semua atas keprihatinan yang diberikan. Namun, saya tak rasa berkewajipan untuk menunaikan hasrat anda semua”. Satu-satu dipandang Zulfikar, meminta pengertian. Lantas, Zulfikar kembali bersuara, “Maafkan saya seandainya saya sedikit kasar dalam bicara. Begini, saya tak fikir yang saya wajib menunaikan pilihan antum walaupun keputusan ini turut direstui dan dipersetujui ustaz sendiri”.

“Tapi bang, pilihan ustaz tentulah yang terbaik. Bukankah ustaz Salihin yang selama ini mendidik abang untuk manjadi da’i yang baik sehingga abang petah begini?”, sampuk Jalaluddin.

“Betul tu”, Kamal mengiakan.

Seperti biasa, Zulfikar tersenyum dan berkata, “Benar, ustaz sudah banyak berjasa selama ini. Namun, adakah ketaatan dan rasa hormat saya terhadap ustaz akan tercalar semata-mata kerana saya menolak keputusan ini?” Semua yang hadir hanya berdiam. Kelihatan Ustaz Salihin serius mendengarkan.

“Ustaz, saya ingin ustaz tahu betapa saya hormat dan sayang akan ustaz. Tapi, saya yakin bahawa saya mempunyai hak untuk menolak ketetapan ini. Bahkan, bukankah seorang anak gadis juga tidak boleh dipaksakan kahwin kepada seorang lelaki yang tidak berbekas di hatinya walaupun pilihan itu adalah pilihan ayahnya sendiri?”

Suasana menjadi sedikit riuh. Masing-masing seperti tidak dapat menerima hujah yang disampaikan Zulfikar. Ustaz Salihin pula mulai tersenyum. Tampaknya, Ustaz Salihin mulai dapat membaca pola fikir Zulfikar.

Kamal yang tidak berpuas hati terus bersuara, “Pertama, abang bukan perempuan atau gadis”. Ungkapannya ini diikuti seyuman dan ketawa kecil oleh yang lain. Mengambil jeda seketika sebelum terus bersuara, “Kedua, seorang anak gadis tertakluk kepada walinya untuk ditentukan pasangan hidupnya. Tambahan pula, boleh jadi durhaka kiranya menolak permintaan keluarga sendiri. Inikan pula seorang ayah yang telah bersusah-payah mencari rezeki buat seisi keluarga. Selain itu, seorang ayah tentulah tahu benar apa-apa yang terbaik buat si anak. Tidak begitu?”

Dengan tenang Zulfikar menjawab, “saya kira saudara-saudara sekalian sudah cukup bijak untuk memahami keadaannya di sini. Berkaitan permasalahan anak gadis itu pula, tidaklah sampai durhaka seandainya dia tidak mentaati perintah berkenaan. Soal hati tidak boleh dipaksa sangat, Kamal. Tambahan pula, gadis berkenaan telah diberikan hak memilih pasangannya oleh Allah dan Rasul, bukannya oleh saya” Zulfikar tersenyum. Semua yang hadir mendengar teliti.

“Dan janganlah kita dikelirukan adat dalam usaha memahami Islam yang sebenar. Saya sedia maklum yang cerita-cerita di televisyen selalunya menggambarkan anak yang menolak cadangan keluarganya dalam urusan jodoh tidak akan diredhai dan payah hidupnya. Dan ada juga yang menambah-nambah mereka akan menjadi gila dan mati dalam keadaan derhaka kepada orang tua. Senario ini ada benar dan ada juga salahnya. Saudara-saudara sekalian, tiada seorang manusia pun yang mampu melihat masa hadapan secara total. Maksudnya, ibu bapa sendiri sekalipun tidak dapat menetukan yang terbaik serba-serbi walaupun buat anaknya sendiri. Dan apabila saya katakna yang si anak punya hak untuk menolak, bukannya menolak dengan cara yang kasar tetapi biarlah dengan cara yang sopan dan rasional. Saudara-saudara, Islam tidak pernah mengabaikan hak siapa-siapapun hatta seorang gadis sunti sekalipun. Dan bersangkutan hal derhaka, apakah pula kefahaman saudara-saudara tentangnya dan apa pula yang dimaksudkan dengan ketaatan? Adakah mentaati orang tua itu dilakukan secara membuta tuli semata? Maka di mana letaknya peranan akal kuriaan Tuhan dalam hal-hal sebegini?”.

Semua terdiam. Tiba-tiba Faiz bersuara meminta kepastian, “Ustaz?”

Ustaz Salihin tidak menjawab tetapi hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Zulfikar menambah, “Begitu juga dengan usrah. Kumpulan usrah bertujuan mendidik kita bagi mendapatkan kefahaman Islam yang sebenar, bukannya secara taklid semata-mata. Maksudnya, memberi ketaatan pun bukan secara membabi buta. Kita perlukan para pendakwah yang kreatif dan tidak selalunya bergantung kepada murabbinya untuk penyelesaian kepada semua masalah sampaikan kadang-kadang boleh membingungkan murabbi sendiri. Dan kita juga perlukan pendakwah yang punya daya fikir yang kuat, bukannya hanya mengikut semata-mata. Dalam erti kata yang lain, setiap daripada kita yang dididik dalam usrah perlu bersedia menjadi ketua dan pengikut yang baik, bukannya sekadar pengikut yang setia. Namun, kita perlulah bertanggungjawab dengan setiap solusi yang kita ujarkan dan adalah baik sekiranya kita berbincang dahulu dengan murabbi dan juga rakan-rakan seperjuangan dalam sesuatu perkara kerana sesungguhnya ada keberkatan dalam perbincangan kerana mengadakan perbincangan merupakan sebahagian daripada Sunnah”

Kali ini, anak-anak usrah Ustaz Salihin yang lain benar-benar terdiam. Tidak terfikir pula oleh mereka akan hal-hal yang diutarakan Zulfikar. Memang tenang, tegas dan berisi. Kata-kata itu memang melambangkan peribadi penyampainya yang juga seringkali terlihat tenang, tegas dan berisi. Ustaz Salihin mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda setuju. Dalam hatinya, dia amat bersyukur dan gembira memperoleh anak usrah seperti Zulfikar. Namun, kadang-kadang dia juga khuatir yang Zulfikar akan dikecewakan sendiri oleh kekuatan fikiran dan kefahaman feqah-nya yang terlalu ke hadapan mendahului teman-teman sebayaya. Ustaz Salihin hanya mampu berdoa agar Zulfikar tetap berada dalam perjuangan ini dan senantiasa tabah menghadapi dugaan. Di samping itu, Ustaz Zulfikar juga telah merancang beberapa strategi bagi mengasah potensi Zulfikar.

Melihat keadaan yang kian tenang, Zulfikar terus bersuara, “Kamal, abang tahu yang awak tak puas hati dengan jawapan abang kelmarin. Soalan tentang kriteria gadis idaman abang, seandainya ingin diusahakan oleh orang lain. Abang menjawab “tentulah paras rupanya yang menawan”. Begini, tentulah saudara-saudara sekalian dan ustaz sendiri akan berusaha mencarikan jodoh yang baik agamanya buat saya dan tentulah saya akan berasa malu seandainya saya menolak seseorang Muslimah itu, yang jelas baik agamanya, semata-mata kerana parasnya. Malah, penolakan tersebut juga boleh menimbulkan fitnah buat Muslimah berkenaan. Suara-suara jahat iblis dan syaitan akan selalu mengganggu emosinya. Namun, adalah lebih bermaruah sekiranya saya menolak seorang gadis yang cantik atas alasan agamanya.”

“Maksud abang, ada bahagian agama Kak Sarah yang tak cukup cantik?” soal Jalaluddin.

“Bukan begitu”

“Kak Sarah dah pernah couple ke?”, tanya Kamal pula.

“No comment”

“Saudara-saudara, saya akui yang saya pernah jatuh hati kepada Sarah. Dan saya tahu perasaan itu benar-benar cinta. Saya bukannya tak pernah berjumpa dan berkenalan dengan perempuan-perempuan cantik. Malah pernah yang lebih cantik Cuma tiada perasaan mencintai. Tapi…”

“Tapi kenapa, bang?”, soal Faiz, Jalaluddin dan Kamal serentak.

“Abang tak rasa dia yang terbaik buat abang”

“Maksudnya?”, kali ini Ustaz Salihin bersuara.

“Saya tak yakin yang dia boleh menjadi isteri yang baik buat saya. Itu sahaja. Saya tak akan mengulas lanjut”.

“Tak faham”, keluh Faiz.

“Maafkan saya, saya tak akan mengulas lanjut”.

Jalaluddin cuba memancing, “Bagaimana kalau…”.

“Maaf, saya tak akan mengulas lanjut”.

Zulfikar berkeras untuk tidak mengulas walaupun puas dipujuk. Ustaz Salihin bagaikan memahami perasaan Zulfikar. Memandang jamnya dan memberikan signal untuk menangguhkan usrah. Usrah ditangguhkan dengan bacaan surah al-Asr dan tasbih kifarah. Kemudian, masing-masing bersalaman dan sedikit berpelukan.

Ustaz Salihin menuju keretanya. Menghidupkan enjin dan beransur pulang. Sebelum itu, brothers sempat melambai dan mengucap salam kepada Ustaz Salihin. Dan sudah menjadi kebiasaan mereka jalan bersama dalam perjalanan pulang ke asrama. Biasanya, saat-saat ini meriah dengan senda gurau sesama brothers. Dan begitu jugalah saat itu.

“Seronoknya kalau selalu dapat bincangkan cinta”, ujar Kamal.

Jalaluddin menambah “Lagi seronok kalau dapat kahwin. Jeng, jeng,jeng”.

Suasana bertambah meriah apabila Musa yang selalunya diam bersuara pelan, “Abang nak kahwin dengan Sarah”.

“Apa bang?”, jerkah Kamal.

Semuanya ketawa. Sedikit menghibur dan mengukirkan senyuman yang panjang-panjang. Zulfikar juga tersenyum namun langkahnya dikecil-kecilkan supaya dia berada di belakang yang lain-lain. Yang lain terus berjalan dan bergurau. Faiz menyedari perubahan langkah Zulfikar.

Faiz merapati Zulfikar. “Abang betul-betul tak yakin ke dengan Kak Sarah?”

Secara perlahan, Zulfikar menjawab, “Sedangkan menjadi sahabat pun dia tak mampu”.

Saturday, June 21, 2008

Qolbun Saliim (Perihal Kebersihan Hati)


Ni penulis dapatkan daripada K.H. Aa Gym yang terkenal dengan “Manajemen Qolbu” sebagai pendekatan dakwahnya kepada masyarakat Islam di Indonesia.
Berikut dinyatakan beberapa panduan ke arah mendapatkan hati yang bersih.Insya-Allah.

*Niat yang sungguh-sungguh untuk memperoleh hati yang bersih.

*Berusaha sungguh-sungguh, terus menerus (Istiqamah dan tak berputus asa).

*Membaca doa daripada al-Quran, Surah ketiga, Ali Imran: 8.

*Syarat berlakunya setiap sesuatu itu adalah biiznillah, dengan izin Allah.

*Hanya Allah Yang Menolong.

*Ujian-ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Ujian-ujian ini adalah syarat untuk meningkatnya keimanan dan kedudukan di sisi Allah.

*Zikir satu bukti cinta.

*Menjaga ikhlas dengan sungguh-sungguh.

*Memahami diri.

*Muhasabah diri.

*Mendengar pendapat orang lain.

*Peribadi orang lain sebagai cermin diri kita. Tatkala terlihat keburukan sikap orang lain, tanyailah diri sendiri, “Adakah aku juga begitu?”.