Sunday, June 22, 2008

Cerpen: Kutolak kerana ilham


“Maafkan saya, saya tak dapat menerima dia sebagai calon isteri saya”. Suara itu halus dan tenang tapi menimbulkan seribu tanda tanya kepada brothers. Ustaz Salihin pula menundukkan kepalanya. Mendiamkan diri dan kelihatannya akur dengan kata-kata anak usrahnya itu. Sudah berbulan-bulan persoalan baitul muslim antara Sarah dan Zulfikar mengisi ruang-ruang kosong dalam usrah tapi baru kali ini Zulfikar dengan tegasnya berujar demikian.

Suasana diam seribu bahasa. Faiz yang sedari tadi diam terbatuk-batuk kecil. Kelihatan jelas mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Doa barangkali. Tak lama kemudian, dia mengangkat mukanya dan memulakan bicara, “Maafkan saya, bolehkah abang beritahu kami sebab-sebabnya abang menolak cadangan kami ini?”. Semua yang hadir memasang telinga. Berusaha menumpukan perhatian terhadap apa-apa yang bakal dikatakan Zulfikar. Namun, Zulfikar hanya membalas dengan senyuman yang kemas. Dan dia memang selalu begitu. Menggeramkan hati yang memandang tingkahnya.

Masing-masing yang hadir nampaknya mulai tidak puas hati dengan senyuman tersebut. Ustaz Salihin hanya diam dan membiarkan. Dia masih dalam fasa memerhati tindak-tanduk anak-anak usrahnya. Menganalisis sebelum mensintesis.

Kali ini, Jalaluddin pula membuka kata, “Tapi bang, keputusan ini adalah keputusan kami semua. Tambahan pula, telah diredhai dan amat dipersetujui oleh ustaz”. Zulfikar hanya tersenyum. Terasa lucu barangkali. Otaknya yang ligat dan cerdas itu pastinya telah menyusun hujah yang rapi bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Kamal pula bagaikan terpanggil untuk bertanya. Dia nampaknya tak senang diri melihat Zulfikar yang berkelakuan begitu. Tambahan pula, soalan-soalan yang diajukan Faiz dan Jalaluddin masih lagi tidak dijawab. Hatinya semakin berdebar untuk bertanya. Adunan pelbagai rasa berkecamuk dalam ruang hatinya. Meluat, geram, menyampah dan seribu satu macam lagi. Dan semuanya ini kerana telatah Zulfikar yang seringkali menimbulkan tanda tanya kepada orang lain. Pernah sebelum ini, dia bertanya tentang kriteria apakah yang dinilai Zulfikar sekiranya ada siapa-siapa yang ingin berusaha mendapatkan jodoh bagi pihaknya. Dan dalam perkiraan Kamal, tentulah abang Zulfikar yang dilihat berilmu dan rendah hati ini akan menjawab “agamanya”. Namun, bukan perkataan itu yang keluar daripada mulut Zulfikar. Malah, Zulfikar menjawab, “tentulah paras rupanya yang menawan”. Bukan itu sahaja, Zulfikar juga menjawab secara bersungguh dan juga berseloroh.

Maka, tanpa teragak-agak lagi, Kamal pun segera bersuara, “Saya tak taulah perempuan macam mana lagi yang abang idam-idamkan”. Nadanya sedikit tegang dan seperti orang melepaskan geram juga bunyinya. Kamal menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan kata-katanya. “Kak Sarah tu apa kurangnya? Kalau abang nak yang cantik, dia pun cantik. Malah dialah yang seringkali menjadi siulan pelajar-pelajar putera di sini. Melepaslah jawabnya kalau abang tak nak”. Suaranya kedengaran sedikit sinis. Layaknya seperti orang yang sedang memerli. Air muka Zulfikar sedikit berubah. Kali ini dia tidak lagi tersenyum. Namun, matanya diarahkan tepat ke arah Kamal dan Kamal pula yang tersenyum. Barangkali Kamal sedikit berasa gah kerana akhirnya dia dapat menyentak ruang fikir dan emosi abang seusrahnya ini. Selama inipun, bukannya semua orang dapat berhujah dengan baik di hadapan Zulfikar. Pendek kata, Zulfikar memang boleh dikatakan petah dalam kata-katanya. Kadang-kadang lembut. Kadang-kadang tegas tetapi masih boleh terasa kelunakannya. Malah, pernah juga Zulfikar membuat beberapa orang pelajar perempuan menangis mendengarkan tazkirahnya tahun lalu. Pendek kata, memang bukan calang-calang orang Zulfikar yang selalunya dipanggil “abang” oleh Kamal ini.

Ustaz Salihin pula mengurut-urut janggutnya. Menunggu respons anak-anak usrahnya. Musa yang sejak tadi diam mendengarkan, membetulkan kaca matanya. Dalam usrah ini, Musalah yang paling tua umurnya, diikuti Zulfikar yang muda beberapa tahun. Manakala Faiz, Jalaluddin dan Kamal masing-masing berusia 20 tahun. Di samping itu, Musa jugalah yang paling pendiam. Sungguhpun dia yang paling tua tetapi dialah yang paling muda dalam usrah tersebut. Maka, ada sedikit perasan khuatir tersilap dan malu untuk berhujah di hadapan yang lain apatah lagi melihat brothers lain yang masih muda belia berbanding dirinya.

Kamal masih lagi tersenyum puas. Jalaluddin pula bagaikan sedang bermenung tetapi kepalanya mengangguk-ngangguk seperti orang bersetuju. Faiz pula sempat membasahkan bibirnya dengan kalimah Jalallah dan dengan tenang mengamati wajah Zulfikar, menanti jawapan. Musa pula masih lagi berdiam dan hanya mampu mengkebilkan-kebilkan matanya. Ustaz Salihin pula hanya memerhatikan dan membiarkan. Suasana diam kembali dan semua orang bagaikan menunggu-nunggu seseorang tampil bersuara. Zulfikar juga masih lagi berdiam, merenung Kamal umpama orang yang sedang menganalisa sesuatu. Matanya tidak berkebil-kebil sedikitpun tetapi cukup tenang dan menenangkan. Dan setelah beberapa ketika, sentum sendirian. Kamal sedikit tersentak melihat perubahan Zulfikar. Dia tahu senyuman itu adalah senyuman kebijaksanaan yang tidak dapat dia tewaskan.

Sekali lagi, semua orang menanti jawapan Zulfikar. Mata Musa yang tadi berkebil-kebil kini sedikit terjegil tanda fokus. Ustaz Salihin kemudiannya bersuara perlahan ke arah Zulfikar, “ada apa-apa?”

Zulfikar tersenyum seraya menawab, “ada, ustaz”. Zulfikar menundukkan muka sebentar sambil membaca beberapa bahagian daripada al-Quran. Menarik nafas sedikit dalam dan bersuara, “Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih semua atas keprihatinan yang diberikan. Namun, saya tak rasa berkewajipan untuk menunaikan hasrat anda semua”. Satu-satu dipandang Zulfikar, meminta pengertian. Lantas, Zulfikar kembali bersuara, “Maafkan saya seandainya saya sedikit kasar dalam bicara. Begini, saya tak fikir yang saya wajib menunaikan pilihan antum walaupun keputusan ini turut direstui dan dipersetujui ustaz sendiri”.

“Tapi bang, pilihan ustaz tentulah yang terbaik. Bukankah ustaz Salihin yang selama ini mendidik abang untuk manjadi da’i yang baik sehingga abang petah begini?”, sampuk Jalaluddin.

“Betul tu”, Kamal mengiakan.

Seperti biasa, Zulfikar tersenyum dan berkata, “Benar, ustaz sudah banyak berjasa selama ini. Namun, adakah ketaatan dan rasa hormat saya terhadap ustaz akan tercalar semata-mata kerana saya menolak keputusan ini?” Semua yang hadir hanya berdiam. Kelihatan Ustaz Salihin serius mendengarkan.

“Ustaz, saya ingin ustaz tahu betapa saya hormat dan sayang akan ustaz. Tapi, saya yakin bahawa saya mempunyai hak untuk menolak ketetapan ini. Bahkan, bukankah seorang anak gadis juga tidak boleh dipaksakan kahwin kepada seorang lelaki yang tidak berbekas di hatinya walaupun pilihan itu adalah pilihan ayahnya sendiri?”

Suasana menjadi sedikit riuh. Masing-masing seperti tidak dapat menerima hujah yang disampaikan Zulfikar. Ustaz Salihin pula mulai tersenyum. Tampaknya, Ustaz Salihin mulai dapat membaca pola fikir Zulfikar.

Kamal yang tidak berpuas hati terus bersuara, “Pertama, abang bukan perempuan atau gadis”. Ungkapannya ini diikuti seyuman dan ketawa kecil oleh yang lain. Mengambil jeda seketika sebelum terus bersuara, “Kedua, seorang anak gadis tertakluk kepada walinya untuk ditentukan pasangan hidupnya. Tambahan pula, boleh jadi durhaka kiranya menolak permintaan keluarga sendiri. Inikan pula seorang ayah yang telah bersusah-payah mencari rezeki buat seisi keluarga. Selain itu, seorang ayah tentulah tahu benar apa-apa yang terbaik buat si anak. Tidak begitu?”

Dengan tenang Zulfikar menjawab, “saya kira saudara-saudara sekalian sudah cukup bijak untuk memahami keadaannya di sini. Berkaitan permasalahan anak gadis itu pula, tidaklah sampai durhaka seandainya dia tidak mentaati perintah berkenaan. Soal hati tidak boleh dipaksa sangat, Kamal. Tambahan pula, gadis berkenaan telah diberikan hak memilih pasangannya oleh Allah dan Rasul, bukannya oleh saya” Zulfikar tersenyum. Semua yang hadir mendengar teliti.

“Dan janganlah kita dikelirukan adat dalam usaha memahami Islam yang sebenar. Saya sedia maklum yang cerita-cerita di televisyen selalunya menggambarkan anak yang menolak cadangan keluarganya dalam urusan jodoh tidak akan diredhai dan payah hidupnya. Dan ada juga yang menambah-nambah mereka akan menjadi gila dan mati dalam keadaan derhaka kepada orang tua. Senario ini ada benar dan ada juga salahnya. Saudara-saudara sekalian, tiada seorang manusia pun yang mampu melihat masa hadapan secara total. Maksudnya, ibu bapa sendiri sekalipun tidak dapat menetukan yang terbaik serba-serbi walaupun buat anaknya sendiri. Dan apabila saya katakna yang si anak punya hak untuk menolak, bukannya menolak dengan cara yang kasar tetapi biarlah dengan cara yang sopan dan rasional. Saudara-saudara, Islam tidak pernah mengabaikan hak siapa-siapapun hatta seorang gadis sunti sekalipun. Dan bersangkutan hal derhaka, apakah pula kefahaman saudara-saudara tentangnya dan apa pula yang dimaksudkan dengan ketaatan? Adakah mentaati orang tua itu dilakukan secara membuta tuli semata? Maka di mana letaknya peranan akal kuriaan Tuhan dalam hal-hal sebegini?”.

Semua terdiam. Tiba-tiba Faiz bersuara meminta kepastian, “Ustaz?”

Ustaz Salihin tidak menjawab tetapi hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Zulfikar menambah, “Begitu juga dengan usrah. Kumpulan usrah bertujuan mendidik kita bagi mendapatkan kefahaman Islam yang sebenar, bukannya secara taklid semata-mata. Maksudnya, memberi ketaatan pun bukan secara membabi buta. Kita perlukan para pendakwah yang kreatif dan tidak selalunya bergantung kepada murabbinya untuk penyelesaian kepada semua masalah sampaikan kadang-kadang boleh membingungkan murabbi sendiri. Dan kita juga perlukan pendakwah yang punya daya fikir yang kuat, bukannya hanya mengikut semata-mata. Dalam erti kata yang lain, setiap daripada kita yang dididik dalam usrah perlu bersedia menjadi ketua dan pengikut yang baik, bukannya sekadar pengikut yang setia. Namun, kita perlulah bertanggungjawab dengan setiap solusi yang kita ujarkan dan adalah baik sekiranya kita berbincang dahulu dengan murabbi dan juga rakan-rakan seperjuangan dalam sesuatu perkara kerana sesungguhnya ada keberkatan dalam perbincangan kerana mengadakan perbincangan merupakan sebahagian daripada Sunnah”

Kali ini, anak-anak usrah Ustaz Salihin yang lain benar-benar terdiam. Tidak terfikir pula oleh mereka akan hal-hal yang diutarakan Zulfikar. Memang tenang, tegas dan berisi. Kata-kata itu memang melambangkan peribadi penyampainya yang juga seringkali terlihat tenang, tegas dan berisi. Ustaz Salihin mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda setuju. Dalam hatinya, dia amat bersyukur dan gembira memperoleh anak usrah seperti Zulfikar. Namun, kadang-kadang dia juga khuatir yang Zulfikar akan dikecewakan sendiri oleh kekuatan fikiran dan kefahaman feqah-nya yang terlalu ke hadapan mendahului teman-teman sebayaya. Ustaz Salihin hanya mampu berdoa agar Zulfikar tetap berada dalam perjuangan ini dan senantiasa tabah menghadapi dugaan. Di samping itu, Ustaz Zulfikar juga telah merancang beberapa strategi bagi mengasah potensi Zulfikar.

Melihat keadaan yang kian tenang, Zulfikar terus bersuara, “Kamal, abang tahu yang awak tak puas hati dengan jawapan abang kelmarin. Soalan tentang kriteria gadis idaman abang, seandainya ingin diusahakan oleh orang lain. Abang menjawab “tentulah paras rupanya yang menawan”. Begini, tentulah saudara-saudara sekalian dan ustaz sendiri akan berusaha mencarikan jodoh yang baik agamanya buat saya dan tentulah saya akan berasa malu seandainya saya menolak seseorang Muslimah itu, yang jelas baik agamanya, semata-mata kerana parasnya. Malah, penolakan tersebut juga boleh menimbulkan fitnah buat Muslimah berkenaan. Suara-suara jahat iblis dan syaitan akan selalu mengganggu emosinya. Namun, adalah lebih bermaruah sekiranya saya menolak seorang gadis yang cantik atas alasan agamanya.”

“Maksud abang, ada bahagian agama Kak Sarah yang tak cukup cantik?” soal Jalaluddin.

“Bukan begitu”

“Kak Sarah dah pernah couple ke?”, tanya Kamal pula.

“No comment”

“Saudara-saudara, saya akui yang saya pernah jatuh hati kepada Sarah. Dan saya tahu perasaan itu benar-benar cinta. Saya bukannya tak pernah berjumpa dan berkenalan dengan perempuan-perempuan cantik. Malah pernah yang lebih cantik Cuma tiada perasaan mencintai. Tapi…”

“Tapi kenapa, bang?”, soal Faiz, Jalaluddin dan Kamal serentak.

“Abang tak rasa dia yang terbaik buat abang”

“Maksudnya?”, kali ini Ustaz Salihin bersuara.

“Saya tak yakin yang dia boleh menjadi isteri yang baik buat saya. Itu sahaja. Saya tak akan mengulas lanjut”.

“Tak faham”, keluh Faiz.

“Maafkan saya, saya tak akan mengulas lanjut”.

Jalaluddin cuba memancing, “Bagaimana kalau…”.

“Maaf, saya tak akan mengulas lanjut”.

Zulfikar berkeras untuk tidak mengulas walaupun puas dipujuk. Ustaz Salihin bagaikan memahami perasaan Zulfikar. Memandang jamnya dan memberikan signal untuk menangguhkan usrah. Usrah ditangguhkan dengan bacaan surah al-Asr dan tasbih kifarah. Kemudian, masing-masing bersalaman dan sedikit berpelukan.

Ustaz Salihin menuju keretanya. Menghidupkan enjin dan beransur pulang. Sebelum itu, brothers sempat melambai dan mengucap salam kepada Ustaz Salihin. Dan sudah menjadi kebiasaan mereka jalan bersama dalam perjalanan pulang ke asrama. Biasanya, saat-saat ini meriah dengan senda gurau sesama brothers. Dan begitu jugalah saat itu.

“Seronoknya kalau selalu dapat bincangkan cinta”, ujar Kamal.

Jalaluddin menambah “Lagi seronok kalau dapat kahwin. Jeng, jeng,jeng”.

Suasana bertambah meriah apabila Musa yang selalunya diam bersuara pelan, “Abang nak kahwin dengan Sarah”.

“Apa bang?”, jerkah Kamal.

Semuanya ketawa. Sedikit menghibur dan mengukirkan senyuman yang panjang-panjang. Zulfikar juga tersenyum namun langkahnya dikecil-kecilkan supaya dia berada di belakang yang lain-lain. Yang lain terus berjalan dan bergurau. Faiz menyedari perubahan langkah Zulfikar.

Faiz merapati Zulfikar. “Abang betul-betul tak yakin ke dengan Kak Sarah?”

Secara perlahan, Zulfikar menjawab, “Sedangkan menjadi sahabat pun dia tak mampu”.

No comments: