Tuesday, June 24, 2008

Cerpen: Biarlah Allah Menentukan Cinta Itu



“Tak suka betul Sha melihat perangai abang tu, kak. Macam suka menggatal je”

“Sha, tak baik Sha buat andaian-andaian liar macam tu. Sejauh mana Sha yakin dengan dakwaan-dakwaan Sha terhadap abang Imran tu?”

“Sha bukannya nak cakap apa la kan. Tapi dah memang akak-akak usrah yang lain pun cakap macam tu. Mereka dah pesan kat Sha supaya beware dengan abang Imran. Silap-silap hari bulan nanti dia datang meminang”

“Kalau ya pun dia datang meminang, salah ke? Tak salah kan?”

Sha tak menjawab. Membukam seketika dan menundukkan kepalanya ke bawah. Dia sedar yang dia mungkin telah tersilap sangka terhadap salah seorang seniornya yang lebih dikenali sebagai abang Imran. Melihat situasi tersebut, Ina pun terus menyambung bicara,

“Sha, Sha mungkin dengar macam-macam yang orang cakap tentang abang Imran tu tapi Sha tak boleh buat assumption yang dia jahat ke, menggatal ke tanpa bukti yang benar-benar kukuh. Sha pun bukannya betul-betul kenal abang Imran tu kan?”

Ina mematikan bicaranya seketika. Mengharapkan Sha memberikan respons yang wajar. Namun Sha masih menunduk bisu. Ina menyambung bicara,

“Sha, tak kiralah walau siapa-siapa pun yang cakap macam tu, ustaz ke, akak-akak usrah ke or siapa-siapa pun. Yang penting Sha harus bijak membezakan antara fakta dan spekulasi kosong. Manusia biasa semuanya tak kebal daripada melakukan kesilapan dan dosa tau”

“Ya lah, kak. Sha rasa Sha memang telah berburuk sangka terhadap abang Imran tu. Kata-kata akak tu pun ada asasnya juga. Tak wajar Sha membina kesimpulan daripada omongan-omongan orang semata-mata. Lagi pun, abang Imran tu bukannya buat silap apa pun kat Sha or kat siapa-siapa pun. Cuma…”

“Cuma apa, Sha?”

Ina menantikan jawapan Sha dengan setia sambil tersenyum indah. Dia mengulangi soalannya sekali lagi, “Cuma apa, Sha?”

“Tak ada apa-apalah kak”

“Sha, kenapa ni. Macam ada something yang Sha cuba rahsiakan daripada akak. Tak kan dengan akak pun nak berahsia kot?”

“Hmm, kalau Sha tanya akak tak marah kan?”

“Nak marah apanya kalau soalannya pun akak tak tau”

“Janji akak tak marah tau”

“Ya, akak tak kan marah. Ok, soalannya apa ya”
Dengan sedikit gementar, Sha mengatur kata-katanya, “Saya dengar yang akak pernah dilamar oleh bang Imran…”

Persoalannya terhenti di situ. Sha tak begitu pasti sama ada dia perlu meneruskan soalannya itu ataupun sekadar membiarkannya tergantung. Dia berusaha membaca isi hati Ina yang dipanggilnya dengan gelaran Kak Ina. Berusaha memahami sama ada soalan ini akan mengganggu ruang tenteram Ina ataupun tidak.

Namun, Sha sedikit terkejut apabila sambil tersenyum, Ina menjawab dengan sedikit berseloroh, “Hmm, ya. Memang bang Imran pernah melamar akak tapi tu kisah dulu-dulu. Masih zaman muda-muda.”

Sha yang melihat reaksi positif Ina lantas tersenyum. Lega rasanya. “Boleh Shat tau tak macam mana dia melamar akak?”

Ina sedikit memuncung tatkala diajukan soalan sedemikian rupa. Bibirnya sedikit bergetar seperti sedang mengatur bicara. Atau barangkali dia sedang beristighfar. Atau mungkin juga dia sedang berusaha menahan marah. Lantas, Sha terus bersuara, “Akak tak payahlah jawab kalau akak rasa tak selesa”

Tanpa membuang masa juga, Sha segera mengajukan soalan lain kepada Ina yang begitu dihormatinya. “Akak pernah jatuh cinta tak?”

Ina dengan tenang bersuara, “Sha, cinta tu satu anugerah Ilahi buat kita-kita ni tau. Selain tu, rasa cinta ni juga dah memang sebahagian daripada diri kita. Mengubat rasa sunyi yang bertahta di hati. Kita ni juga selaku orang perempuan kenalah beringat akan peranan kita nanti apabila bergelar isteri. Bukan setakat makan minum suami je yang nak dijaga tau. Kita kenalah juga berada di sisi suami kita, memperkukuhkan semangat juangnya dalam menebarkan dakwah di muka Bumi ni.”

Ina berhenti seketika. Menelan liur dan meneruskan bicaranya,

“Kita juga wajar mencontohi ketokohan isteri pertama Rasulullah S.A.W. yang menemani perjuangan dakwah suaminya tatkala di Mekah. Aisyah R.A. sendiri pun pernah berasa cemburu dengan ketokohan beliau sedangkan Aisyah R.A. sendiri pun antara isteri dan sahabat nabi yang hebat. Ada lagi yang kita orang perempuan ni kena tau tapi akak malu sikit la nak cakap”

“Apa yang akak malukan sangat tu, kak?”

Ina dengan berhati-hati berkata “Kita juga perlu bersedia menghibur suami dengan sebaik mungkin. Hubungan suami isteri dalam Islam pun ada adabnya. Sebab tu lah boleh dapat pahala kalau betul caranya. Kenalah juga pandai berhias agar sejuk pandangan mata suami nanti”

“Hmm, luar biasa juga akak ni ya kalau berbicara soal perkara-perkara macam ni”, ujar Sha sambil diiringi senyumanyang manis.

“Tak adalah. Akak pun dengar-dengar je daripada kuliah-kuliah yang Ustaz Salam berikan. Sebagai persediaan hari-hari esok. Nak bina baitul Muslim ni bukannya urusan sehari dua, Sha.”

“Macam mana pula dengan orang yang ber-couple, kak? Boleh ke?”

“Hmm, yang ni susah sikit nak jawab. Sebelum tu, apa yang Sha sendiri faham tentang istilah ber-couple tu sendiri?”

“Entahlah kak. Sha pun macam tak pasti”

“Begini, kalau ber-couple yang Sha faham tu semata-mata keluar ber-dating dan hanya buat menurutkan hawa nafsu semata-mata, dah tentulah ianya salah. Orang yang dah bertunang pun boleh dikatan couple, betul tak? Tapi mereka pun masih perlu menuruti batasan-batasan yang telah ditetapkan. Dan orang kalau nak berkahwin pun bertunang kan? Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah pun macam tu. Hmm, persoalannya ni sememangnya agak panjang untuk dijawab. Namun, biarlah akak simpulkan begini. Berkenalan tu tak salah tapi biarlah betul gayanya. Kalau dah betul-betul suka tu, rujukkanlah kepada mak ayah.”

“Oh, boleh tak Sha simpulkan macam ni? Couple tu tak salah kerana zatnya tetapi bagaimana pengisian ataupun cara ianya dilaksanakan?”

“Hmm, lebih kurang macam tu lah, Sha. Macam persoalan muzik dalam Islam. Lebih kurang macam tu lah juga. Haram bukan kerana zatnya.”

“Tapi ada juga yang kata yang couple-couple ni semuanya salah. Semuanya haram. Macam mana pula tu?”

“Akak pun pernah dengar mereka yang berkata macam tu. Tujuannya adalah supaya mengelakkan masalah zina daripada berlaku. Tambahan pula, metodologi pencegahan ni memang lazim dengan Islam sebagaimana termaktub dalam al-Isra’, ayat 32”

“So, macam mana ni kak? Boleh ke tidak bercinta sebelum kahwin ni?”

“Akak rasa elok kalau Sha tanya soalan tu kepada diri Sha sendiri. Mampukah Sha menjaga batasan-batasan antara lelaki dan perempuan semasa ber-couple tu? Adakah Sha masih boleh tumpukan perhatian kepada tarbiyyah dan akademik? Sebab Sha yang lebih mengenali kekuatan dan kelemahan diri Sha. Dan akak rasa elok juga kalau Sha tanyakan soalan-soalan serupa kepada mereka yang lebih berilmu. Cuma yang akak tahu dan faham berdasarkan pencarian akak selama ni, hukumnya ada dua sama ada mubah ataupun haram. Mereka yang syadid biasanya akan berpegang kepada hukum yang kedua iaitu hukumnya haram”

“Rumit juga persoalan ni ya, kak”

Sambil tersenyum, Ina menjawab “Memang pun. Nak hidup diredhai Tuhan lah katakan. Mestilah berusaha memahami ketetapan-ketetapannya. Islam ni mudah sebenarnya. Terpulanglah kepada kita nak ikut ke tak. Kalau Sha nak lebih selamat tanpa was-was, adalah lebih baik Sha berpegang kepada hukum yang kedua tu. Insya-Allah, jodoh akan kunjung tiba juga suatu hari nanti”

“Mudah-mudahan lah kak. Doakanlah saya ya”

“Insya-Allah. Cuba Sha baca doa nabi Musa A.S yang terkandung dalam Surah al-Qasas, Surah ke-24 sebagai salah satu usaha mendapatkan jodoh. Doa ni dulu Ustaz Salam yang ajar. Semoga Allah S.W.T. kan senantiasa merahmati-Nya. Amin. Surah ni juga ada menceritakan kisah romantis Nabi Musa A.S. dengan bakal isterinya. Bakal isterinya itu, menurut Quran, “berjalan dengan malu-malu” tatkala menyampaikan jemputan ayahnya buat Musa A.S. Cuba Sha baca dahulu terjemahan kisah romantis Nabi Musa A.S. ini ya. Insya-Allah juga nanti kita bincangkan ayat-ayat berkaitan dalam sesi usrah yang berikutnya. Ada landasan akhlak antara lelaki dan perempuan yang turut dibicarakan dalam kisah ini sebenarnya.”

“Alhamdulillah. Banyak juga input yang saya dapat hari ni. Dah macam sesi usrah layaknya”, ujar Sha dengan nada beserta hembusan nafas kepuasan.

“Usrah ni tak semestinya duduk dalam halaqah je. Duduk-duduk kat kedai kopi pun boleh jadi satu sesi usrah kalau buah bicaranya berkisarkan Islam tau.”

“Oh, macam tu! Subhanallah, mudah betul nak buat pahala ni ya, kak.”

“Memang pun. Akak nak pergi masak ni. Nak tolong?”

“Nak. Nak jadi isteri solehah mestilah tau memasak.”

“Hmm, memasak ni bukannya syarat utama menjadi isteri solehah tau tapi lebih berupa perkara pelengkap. Tak tau memasak taka apa, tapi kalau tak tau Islam lagi payah. Tapi kalau dah ada dua-dua tu. Kira pakej lah.”, ujar Ina, diiringi tawa mereka berdua.

“Hmm, Sha. Sebelum tu akak nak cakap sesuatu bagi menjawab persoalan Ina sebelum ni. Memang akak pun pernah suka kat abang Imran. Dia tu lembut orangnya tapi tegas apabila berhujah. Dan dia ni cepat betul prihatin kepada perempuan. Kalau nampak seseorang permpuan tu lain macam je, mesti dia tanya, “Sihat ke?” ataupun “Awak ok?”. Akak tak nafikan yang dia ni memang peramah orangnya. Tu lah sebabnya kalau orang yang tak kenal abang Imran ni boleh buat assumption yang macam-macam. Dia playboy-lah, ikhwan cakap tak serupa bikin dan banyak lagi. Walhal, hakikatnya bukan macam tu pun. Akak sendiri akui akak pun kadang-kadang boleh rasa jealous mendengar cerita-cerita macam tu tentang bang Imran.”

“Hmm, kenal betul akak dengan bang Imran ye. Ada apa-apa lagi ke?”

“Akak bukannya apa. Cuma nak Sha berhati-hati. Jangan mudah sangat berburuk sangka dengan orang lain dan mengumpat pula tu. Seolah-olah makan daging saudara sendiri tau.Cuba rujuk al-Hujurat, ayat 12.”

Sebaik sahaja Ina selesai berbicara, Sha pun segera memintas, “Ada apa-apa lagi ke dengan bang Imran?”

“Hmm, biarlah Allah Menentukan cinta itu dengan berlalunya waktu dan ilmu”

No comments: