Tuesday, June 24, 2008

Fahamkah Orang Muda akan Perjuangan?





Suara orang muda kini bagaikan mula berdendang ke seluruh pelusuk tanah air. Dikatakan juga bahawa undian orang muda telah banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya umum yang lalu. “Pergerakan” orang muda juga terlihat segar dan cukup gah sekali. Pastinya cukup untuk menyampaikan mesej kepada pihak pemerintah sedia ada bahawa mereka bersedia untuk membawa perubahan.

Wacana perubahan yang sering dilaung-laungkan sememangnya mencerminkan hasrat mereka untuk hidup di bawah pemerintahan yang lebih baik dan telus. Satu niat yang sememangnya cukup baik dan murni. Namun, adakah orang-orang muda ini benar-benar faham akan wacana perubahan yang mereka impikan ataupun sekadar bersandar kepada kehendak hati mereka yang sekadar ingin ‘memberontak’ bagi merealisasikan kewujudan diri mereka di pentas kehidupan?

Persoalan yang diajukan di sini bukannya bertujuan memihak kepada pihak pemerintah secara membuta tuli tapi sekadar menumbuhkan pemikiran rasional kepada para pembaca. Sejauh manakah para pemuda yang terlibat dengan idea “perubahan” ini, faham akan perjuangan mereka?

Para pemuda dari Kelantan, misalnya masih lagi mempertahankan pemerintahan PAS di sana tetapi belum tentu lagi mereka faham dengan wacana gerakan Islam. Mereka yang faham akan pergerakan kebangkitan Islam pastinya akan bertungkus lumus melibatkan diri dalam usaha-usaha yang berkaitan namun kenyataan ini belum tentu dapat dilihat pada kebanyakan pemuda berkaitan. Mereka lebih selesa mendengar ceramah-ceramah agama sahaja tanpa melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan Islam.

Maaf andai pemerhatian ini sedikit sensitif. Dan memang bukan semua pemuda di sana begitu. Namun, inilah contoh yang paling baik dalam memahamkan para pembaca kepada penulisan artikel ini dan ini merupakan tanggungjawab penulis untuk sekadar mengingatkan, bukannya menghukum.

Penulis juga dapat menyimpukan begini, sekiranya kebanyakan pemuda Kelantan faham akan perjuangan gerakan Islam, maka akan lebih besarlah peluang PAS meluaskan dakwahnya ke seluruh tanah air. Tidak begitu? Oleh itu, pihak PAS seharusnya memerhatikan agenda tarbiyyah sebagai satu unsur yang penting dalam perjuangan mereka. Insya-Allah.

Oleh itu, artikel ini juga bertindak mengingatkan agar para pembaca, khususnya yang muda supaya benar-benar faham akan perjuangan mereka. Perjuangan yang membentuk identiti mereka sendiri. Dan artikel ini tidak sekali-kali pun memperlekehkan usaha PAS dalam usahanya membentuk negara Islam. Sesungguhnya, artikel ini dimaksudkan buat semua pemuda sama ada yang memihak kepada PKR, UMNO, DAP, MIC dan lain-lain.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

No comments: