Monday, June 23, 2008

Kefahaman Islam Buat Semua


Air mata itu mahal harganya. Bukannya mudah untuk menitiskan air mata. Apatah lagi kerana mengingatkan kebesaran Ilahi. Maka, berdoalah agar dikurniakan hati yang lembut, hati yang mudah menghayati Islam.

Sesungguhnya hati-hati yang lembut akan mudah menerima nasihat seterusnya buat membantu kita dalam memahami Islam yang sebenar. Sesungguhnya juga, kefahaman agama merupakan nikmat Allah yang tiada terhingga. Malah, kefahaman dalam agama tidak diukur melalui banyaknya ilmu di dada ataupun status diri sebagai “ustaz” ataupun “ustazah”. Dan yang paling penting, kefahaman Islam ini sememangnya dimaksudkan Allah buat semua, bukannya kepada golongan agamawan sahaja.

Namun, hidayah itu pada hakikatnya merupakan milik Allah semata-mata. Seorang pendakwah, walau sehebat mana sekalipun tidak akan mampu memberikan hidayah kepada seseorang termasuklah mereka yang dicintai. Rasulullah S.A.W. sendiri tidak mampu memasukkan sinar Islam dalam diri pamannya. Begitu juga dengan Nabi Nuh A.S. yang tidak mampu mengurniakan keimanan buat keluarganya.

Lantas, apakah yang membezakan orang yang memahami agamanya dengan mereka yang tidak? Persoalan ini buat difikirkan oleh para pembaca. Kita selaku manusia ciptaan Allah mempunyai tanggungjawab untuk mencari hidayah Allah. Kita seharusnya bisa merebut “perhatian” Ilahi. Sedangkan orang yang kita cintai pun seboleh-bolehnya kita “curi” perhatiannya. Inikan pula Allah S.W.T. yang memang sudah terbukti Mencintai kita. Sebab itulah Allah mengurniakan kita petunjuk dari sisi-Nya, iaitu Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Sahabat-sahabat sekalian, ingatlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk berusaha sebaik mungkin memahami tuntutan Ilahi. Sebab itulah, kita dapat lihat ada dari kalangan sahabat-sahabat kita yang bersungguh-sungguh menyertai usrah dan yang seumpamanya semata-mata untuk mendapatkan kefahaman dalam agama.

Mahukah kita menjadi seperti generasi-generasi sebelum kita yang hanya melazimi bacaan Yassin setiap malam Jumaat tetapi tidak pernah tahu dan faham apa-apa yang mereka bacakan. Baca ayat-ayat Allah itu bagus. Tak salah. Tapi sejauh mana kita boleh mewujudkannya dalam kehidupan kita? Sejauh mana kita boleh mengambil pelajaran daripadannya untuk menjadikan Islam tumpuan dunia? Tumpuan aqidah, tumpuan pentadbiran, tumpuan kemanusiaan, tumpuan budaya dan lain-lain?

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui

No comments: